Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
Begitulah hidup aku setelah kematian suami (bapa kepada tujuh anak-anak ku yang kian membesar). Semasa suami ku pergi buat selama-salamanya kerana Allah lebih sayangkan dia, anak ku yang pertama baru tingkatan satu, kedua darjah enam, ketiga darjah lima, keempat darjah tiga, kelima darjah dua, keenam baru tadika dan ketujuh baru empat tahun.
Semasa menghempuskan nafasnya yang terakhir aku berada diisinya dan sepanjang malam aku duduk dan sesekali aku terlelap ditepi katil tapi tangan ku tidak lekang dibadannya.
Jenazah telah selamat dimandi dan dikafankan untuk dibawa ke kampongnya di Perak. Semasa persiapan untuk ke kampong anak yang kecil ada bertanya "baju ayah tak buat balik ke" berderai air mata ku kerana apalah yang mereka tahu. Aku redha pemergiannya dari dia menanggung sakit sekian lama selama empat tahun kerana barah (cancer - limphoma).
Setelah dikembumikan dikampong kerana itu atas permintaan ibunya, anak ku yang kecil bertanya kepada bapa saudaranya "ayah tak lemas ke dalam kubur" begitulah keletah anak ku yang bongsu banyak bertanya.
Setelah selamat buat kenduri tahlil, aku dan anak-anak pulang ke Kuala Lumpur kerana aku terpaksa menyambung kerja dan anak-anak terpaksa bersekolah. Anak ku yang bongsu selalu keluarkan album ayahnya dan tunjukkan gambar ayahnya kepada kawan-kawan. Sewaktu aku mengaji AlQuran pada malam tanpa ku sedari air mata ku sentiasa berlinangan dan diperhatikan oleh anak yang bongsu sedih melihat ku menangis dia beredar dan keesokan barulah dia bertanya "mak menangis semasa baca Quran malam tadi kerana ingatkan ayah ke!" Aku hanya menundukkan kepala ku ingin sembunyikan kesedihan ku (tapi anak ku faham dengan tingkah laku ku).
Semasa menghantar anak-anak ku ke sekolah air mata ku selalu berlinangan walaupun kesedihan ingin ku sorokkan kepada anak-anak ku tetapi apa boleh buat, itu sudah naluri insan yang tidak tahan dengan kesedihan. Walaupun nampaknya riang di luar tetapi dalam hati tidak siapa yang tahu.
Aku sedih kerana dalam usia yang begitu muda anak-anak ku sudah kehilangan bapa untuk bergantung kasih sayang. Aku bersyukur juga kerana aku dikurniakan oleh Allah subhanawataala umur ku panjang dapat juga aku mencurahkan kasih sayang kepada mereka. Walaupun kasih sayang ku curahkan kepada mereka dianggap tidak adil kerana aku faham anak yang ramai dan jarak usia mereka amat rapat mereka berebut-rebut untuk dimanja dan dikasihi.
Selang beberapa minggu berlalu jenazah dikembumikan anak ku kedua bersuara "kenapa mak tak kembumikan ayah kat Kuala Lumpur" aku tak dapat berkata apa-apa cuma berdiam, sedih, sayu......... (dalam hati eya tak eya juga tetapi Allah dah tentukan tanah kuburnya disana).
Tahniah kerana telah berjaya mendidik anak-anak seorang diri.
ReplyDeleteTerima kasih.
ReplyDeleteSuatu kepuasan melihat anak-anak berjaya.