Monday, November 16, 2009

Masa.......

Bila ku renung masa berlalu begitu cepat sekali. Waktu tidak menunggu sesiapa tetapi rugilah kita hanya melepaskan masa berlalu begitu sahaja.......

Masa ibarat lilin membakar.... sia-sia apabila mengeluarkan asap dan debu tetapi memberi faedah apabila cahaya nya menerangi alam yang kegelapan. Begitulah diibaratkan masa itu berharga apabila dimenafaatkan untuk kebaikan dan kerugian apabila disia siakan berlalu begitu sahaja.......

Demi masa hanya insan............ yang tahu menilainya.

Friday, April 10, 2009

Di tirai jendela

Fajar pagi berlabuh,
Aku merenung diluar jendela.

Embun dan gerimis membasahi rumput,
Nun dihadapan aku memandang...... jauh....

Bukit yang indah menghijau,
Sejuk mata memandang,
Tapi disebaliknya ada sesuatu rahsia....
Hutan rimba yang beribu tahun usia,
Ada bahaya yang sentiasa menanti,
Penghuni.... di jalan rimba riang 9/4.

Hanya menanti......penuh debaran.

Setiap malam tidur tanpa lena,
Kecuaian, leka pasti menerima akibatnya.

Walaupun setiap malam....
Ada kereta peronda polis yang meronda,
Tapi waktunya telah diawasi,
Oleh makhluk asing pendatang.....
Telah lama bermastautin di puncak bukit sana,
Senantiasa menanti siapakah pula.
Yang bakal menjadi mangsa......

Sunday, April 5, 2009

Terlajak perahu boleh berundur

Pada bulan lepas aku bertemu seorang kawan Z yang baru ku kenal melalui adiknya yang bekerja disebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Ceritanya bukanlah ingin mendedahkan keburokan orang tetapi ingin berkongsi pengalaman dan pendapat dengan aku.

Begini ceritanya. Dia ada seorang kakak ipar yang telah berkahwin pada usia yang lewat sedikit iaitu 45 tahun. Biarlah ku namakan kakak iparnya ini Aishah (namanya bukan nama sebenar). Aishah seorang pegawai tinggi kerajaan dan pernah keluar negara atas urusan kerjanya.

Dia berkenalan dengan seorang duda yang juga sebaya umur dengannya. Ku namakan duda ini Dahlan (bukan nama sebenarnya). Pada awal perkenalan Dahlan sudah pandai menghadiahkan gelang emas kepada Aishah. Aishah begitu gembira sekali kerana ada orang menghadiahkan sesuatu kepada dia dan mungkin sebelum ini tidak ada orang yang berbuat sedemikian.

Akhirnya Aishah terpikat dengan Dahlan dan berkahwin. Dahlan mempunyai anak seramai empat orang dan sifat Dahlan tidak bertanggungjawab dan tiada pekerjaan yang menentu semuanya anak-anaknya diserahkan kepada dia oleh bekas isterinya yang telah berkahwin lain.

Aishah terpaksa memelihara anak-anak Dahlan dan membawa tinggal bersama dirumahnya. Makan, pakai dan semua perbelanjaan persekolahan ditanggung oleh Aishah.

Dipendekkan cerita akhirnya anak Dahlan yang pertama perempuan Dahlia (bukan nama sebenar) berkahwin dan mendapat anak kembar. Jodohnya tak panjang akhirnya Dahlia bercerai dengan suaminya. Anak Dahlia ini seorang dijaga oleh bekas ibu mertuanya dan seorang lagi tinggal bersama Dahlia yang masih tinggal dirumah Aishah.

Akhirnya Aishah bukan sahaja menanggung beban menjaga suami tetapi terpaksa menjaga anak-anak tiri dan cucu tirinya.

Pada usia 55 tahun Aishah mengeluarkan wang simpanan KWSP. Wang yang disimpan selama bekerja hampir 30 tahun itu dikeluarkan dengan membeli kereta baru Honda untuk suaminya dan Aishah sendiri hanya memakai kereta Wira yang sudah lama usianya.

Aku mengeluh mendengar ceritanya. Apa boleh buat nasi sudah menjadi bubur dan terlajak perahu boleh berundur tetapi terlajak perbuatan apa pula tindakannya.

Apakah mampu Aishah merubah kembali hidupnya ini sebelum umurnya 60 tahun atau berakhir dengan hanya kain kafan putih yang menyalut badan. Apabila mati mampukah anak-anak tirinya, cucu tirinya dan juga suaminya untuk menghadiahkan doa apabila mati kelak.

Semoga permudahkanlah dan selamat bersalin

Dua minggu lepas aku baru sahaja melawat anak saudara ku yang baru selamat bersalin anak lelaki. Sakit bersalin ni ibu yang pernah melahirkan anak sahaja yang tahu bagaimana azabnya sakit bersalin.

Dalam minggu ni sahaja aku mendengar radio IKIM menceritakan bahawa azab kedua dari sakratulmaut adalah azab bersalin.

Aku masih ingat sewaktu melahirkan anak pertama dahulu di Hospital Kuantan, Pahang tahun 1977. Masa tu aku pun tak tahu macam mana sakitnya untuk bersalin. Setelah aku merasa sakit-sakit di hospital seorang ibu muda juga seorang jururawat baru sahaja melahirkan seorang bayi pertamanya. Dia sempat bercerita kepada ku macam mana dia nak bersalin dan mengajar kepada ku supaya menerang macam nak buang air besar.

Sewaktu aku mulai sakit aku dibawa ke bilik bersalin. Sakitnya tidak dapat ku bayangkan rasanya macam nak putus pinggang ku. Tiba-tiba aku rasa nak buang air besar dan ingin bangun kerana nak ke bilik air tetapi seorang bidan terlatih mengarah aku baring jangan bangun dan sempat berkata" nanti patah leher anak awak". Rupa-rupanya aku sudah nak menerang untuk bersalin. Selepas bayi keluar aku rasa dunia ni gelap seketika, syukur alhamdulillah aku masih panjang umur.

Sakit bersalin belum habis, seorang doktor lelaki menghampiri ku untuk.......... malu nak cerita. Aku tak mahu dan menempis tangan doktor tersebut dan seorang bidan menasihatkan ku "adik benda kita tu kecil dah keluar anak kenalah...." Aku terpaksalah membenarkan doktor tu buat kerjanya sampai habis malu tak malu kenalah juga.

Setelah keluar dari bilik bersalin, keesokannya doktor yang sama melawat ku dan sempat berkata kepada anak kecil ku " your mother so crazy....". Dalam hati aku rasa tidak mahu jumpa lagi doktor ni.

Kini masa sudah berlalu 32 tahun lepas. Zaman sekarang nak bersalin boleh pilih doktor wanita jika kita mahu.

Pagi tadi aku baru sahaja menghantar anak perempuan tunggal ku buat pemeriksaan di Pusat Rawatan Islam Kota Damansara kerana aku segaja nak hantar kerana melihatnya dah sarat benar nak memandu kereta pun perutnya dan dah kena sterin kereta, tapi apa boleh buat suaminya kerja di Johor Bharu minggu hadapan barulah balik.


Aku pun terpaksa standby kali ni anak perempuan dan menantu ku akan bersalin serentak pada awal bulan Mei 2009. Aku berdoa semoga kedua-duanya dipermudahkanlah dan selamat bersalin.

Thursday, April 2, 2009

Bekerjalah seolah-olah kita hidup seribu tahun lagi dan Beramallah seolah-olah kita mati esok hari

Laungan azan jelas terdengar dari surau AlUlum seksyen 9 Kota Damansara, Petaling Jaya menanda masuknya waktu magrib. Aku baru saja mencuci kaki ku dan ingin mandi sebelum menunaikan solat.



Tiba-tiba pergerakan ku berhenti menghayati azan tadi "Allahhu Akbar" Allah Maha Besar. Sesungguhnya tiada daya dan kuasa ku hanya Allah yang berkuasa segala-galanya. Penghayatan ku mendalam terus ke hati.... betapa besarnya kuasa Allah. Biasalah dalam keadaan begini aku mengucap kesyukuran dengan kehadiran ku ke dunia ini menjadi manusia yang sempurna dan dalam agama yang diredhai Allah. Apa lagi sedu, hiba dan mulailah air jernih mengalir lagi dipipi ku. Bukan ku pinta tapi itu adalah naluri insan........



Selepas mandi dan berwuduk aku terus menunaikan solat magrib berseorangan di rumah. Pada malam Jumaat kebiasaannya aku akan membaca Yasin kalau rajin aku terus membaca AlQuran.

Kali ini waktu membaca Yasin sebak rasanya dada ku dan apa lagi gerimis mengundang lagi. Ya, betapa kerdilnya diri ku ini, mengundang didunia yang luas ini. Apakah aku sudah cukup amalan untuk ke sana......... yang kekal selama-lamanya.



Aku rasa amalan ku belum cukup lagi untuk ke sana........ aku bermohon kepada mu ya Allah panjangkanlah umur ku dan berilah aku kesempatan, kesihatan yang sempurna supaya aku sempat beramal. Aku masih ingat lagi kata-kata pujangga, Beramallah seolah-olah kita mati esok hari dan Bekerjalah (mencari rezeki) seolah-olah kita mati seribu tahun lagi. Kedua-dua amat berguna sekali dalam hidup kita untuk dunia dan akhirat.

Wednesday, April 1, 2009

Petikan dari Utusan Malaysia

KESIHATAN
ARKIB : 31/03/2009


-->
Perkahwinan bukan semata-mata untuk seks
Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
Membina rumah tangga bukan seperti membina istana pasir di tepi pantai, sekali ombak melanda istana roboh berderai. Sebolehnya jadikanlah binaannya kukuh, sekukuh istana konkrit, biar dilanda ombak dan taufan tetap utuh dan teguh.
Namun kekukuhan dalam perkahwinan itu memerlukan ramuan yang padat bukan sahaja dari segi kekuatan fizikal, mental, spiritual malah kemantapan ekonomi dan sosial.
Bagaimanapun, apabila melayari sebuah bahtera perkahwinan ramai yang menyatakan bahawa kebahagiaan dalam rumah tangga sebenarnya hanya bergantung kepada seks semata-mata.
Memang tidak dinafikan bahawa seks amat penting di dalam perkahwinan dan juga membawa kepada beberapa akibat buruk jika tidak dipenuhi, namun itu bukanlah syarat utama dalam kemanisan kehidupan sesebuah perkahwinan.
Pensyarah Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah Abd. Ghani berpendapat, sesebuah perkahwinan yang bahagia harus mempunyai komponen kasih sayang, saling mempercayai dan menghormati, di samping memenuhi zahir dan batin.
Kehidupan suami isteri perlu seimbang dalam pelbagai aspek. Tidak boleh memberi keutamaan kepada satu aspek sahaja, contohnya hubungan seks semata-mata tetapi sebaliknya harus bersifat sederhana.
Bersederhana dalam erti kata cukup dalam memaniskan dan mengekalkan keutuhan rumah tangga itu. Misalnya dalam mencari kemewahan, janganlah sehingga mengabaikan keluarga sehingga keadaan porak peranda.
Begitu juga dalam memenuhi kehendak seksual, suami harus memain peranan dalam memastikan hubungan itu saling memberi kepuasan bagi kedua-dua pihak.
"Ini kerana dari segi psikologi, lelaki dan wanita berbeza kehendak seksualnya. Organ-organ jantinanya berbeza. Lelaki dan wanita perlu sedikit pengetahuan mengenai seksualiti, barulah kepuasannya itu dirasai oleh kedua-dua pihak.
"Selain itu, rata-rata wanita Asia seorang yang pemalu, tidak bersifat terbuka mengenai isu berkaitan dengan seks, lebih memendam rasa dan tidak suka berterus terang dengan suami. Ada juga isteri hanya mahu menanti dan bahkan tidak pernah diberi peluang untuk mencapai kepuasan.
"Jadi, dalam mendapatkan kenikmatan itu, suami-isteri harus bersama-sama bertanggungjawab memberi kepuasan,'' katanya ketika ditemui di USIM, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Menurut Dr. Saedah, seks merupakan salah satu kehendak manusia yang dianugerahkan Allah dengan tujuan murni iaitu meneruskan kesinambungan zuriat anak Adam dan untuk pasangan menikmati hubungan manis dalam satu ikatan yang sah.
Di samping itu, ia juga antara kaedah dala menguruskan tekanan atau stres serta menjalin hubungan mesra dan menyemai kasih sayang serta cinta antara suami isteri.
"Namun jangan jadikan seks segala-galanya dalam perkahwinan, ia hanya bentuk aktiviti yang bertanggungjawab serta halal. Oleh itu, suami tidak harus memberi keutamaan dalam hal ini sedangkan banyak lagi komponen yang penting dalam melayari bahtera tersebut.
"Bahkan, tanggungjawab suami juga cukup besar, tidak semata-mata memberi nafkah batin, tetapi sebagai ketua atau pemimpin dalam sebuah keluarga. Tanggungjawab kepimpinan dalam sebuah rumah tangga ada kaitan dengan pemberian nafkah batin dan zahir, sifat kekuatan jasmaniah, azam, keberanian, kesabaran dan berpandangan jauh dalam sebuah rumah tangga,'' tambahnya.
Katanya yang berpengalaman dalam bidang kaunseling hampir 20 tahun, dalam membina sebuah rumah tangga, pasangan digalakkan untuk sentiasa menjalin hubungan mesra, saling faham memahami, sentiasa berbincang dan bermusyawarah. Sifat ini amat perlu sama ada dalam menghadapi permasalahan kecil atau pun besar.
"Tanggungjawab suami sebagai pemimpin dalam sebuah rumah tangga merupakan satu amanah Allah yang wajib ditunaikan. Ini bermakna menjadi tanggungjawab kepada suami untuk menanggung perbelanjaan keluarga mengikut kemampuannya.
"Kewajipan ini termasuk juga sama ada isteri mempunyai harta atau pendapatan sendiri. Bagaimanapun isteri boleh menyumbang untuk perbelanjaan keluarga dan dikategorikan sebagai satu sedekah.
"Oleh itu, sebagai suami , mestilah sedaya upaya berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab menyediakan perbelanjaan keluarga seperti tempat tinggal, pakaian, makan, minum dan sebagainya. Cuai memberi nafkah zahir adalah merupakan satu dosa,'' tegasnya.
Secara kesimpulan, peranan seks dalam perkahwinan perlulah bersifat sederhana, janganlah ia dijadikan tunjang utama sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain. Suami isteri perlu memahami peranan masing-masing dalam perkahwinan, jika mahu melihat ia terus utuh.



Saya tertarik dengan kata-kata: Membina rumahtangga bukan seperti membina istana pasir ditepi pantai. Biarlah istana itu dibuat kukuh dari konkrit yang bertahan bertahun-tahun tidak lapok ditelan zaman. Dalam erti kata keimanan dan kesabaran amat-amat perlu antara suami dan isteri.

Monday, March 30, 2009

Kecil-kecil dah nak belajar masak










Lihatlah telatah si kecil ni sebok pula dia nak memasak. Tak kira lelaki ke perempuan, kecil-kecil tengok orang memasak dia pun nak masak sama. Lepas memasak cepat-cepat simpan pisau tu.

Budak-budak kebiasaan nya suka meniru telatah orang disekelilingnya.








Thursday, February 19, 2009

Hanya bergelar ibu tunggal

Setelah kematian suami aku bertekad tidak akan berkahwin lagi. Aku masih ingat berpesan kepada anak pertama ku "sekiranya mak nak kawin ingat jangan bagi mak kawin". Dalam usia 36 tahun aku bergelar ibu tunggal (balu kerana kematian suami) tetapi aku pernah diusik dengan perkataan janda oleh kawan-kawan lelaki yang nakal. Lantas aku berkata aku bukannya janda tetapi balu sebab aku kematian suami.




Selama empat tahun aku bergelar ibu tunggal, aku pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO dan Ketua Wanita UMNO di Wangsa Maju Seksyen 10. Aku juga pernah terlibat dengan Pergerakan Belia Dinamik dan menjadi Naib Presiden.



Pada usia ku 40 tahun akhirnya aku berkahwin dengan seorang pegawai TUDM yang jarak usia nya lebih muda sebelas tahun dari usia ku. Tak perlulah aku menyebutnya namanya diisini kerana perkahwinan ku dengan dia akhirnya berakhir dengan perceraian. Perkahwinan ku dengan dia cuma bertahan dua belas tahun (lama jugak). Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana aku tahu manusia semuanya merancang yang terbaik tetapi Allah jua menentukan segalanya. Mungkin ada hikmah disebaliknya kita insan biasa tidak mengetahui disebalik yang tersirat dan yang tersurat hanya Allah sahaja yang tahu.



Semuanya ketentuan Allah aku redha apa yang berlaku dan sekali lagi aku bergelar ibu tunggal kembali dalam usia 52 tahun tetapi kali ini anak-anak ku telah meningkat dewasa. Anak pertama 29 tahun dan anak bongsu ku berusia 19 tahun.




Friday, January 23, 2009

Sayunya hati ibu.......

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Begitulah hidup aku setelah kematian suami (bapa kepada tujuh anak-anak ku yang kian membesar). Semasa suami ku pergi buat selama-salamanya kerana Allah lebih sayangkan dia, anak ku yang pertama baru tingkatan satu, kedua darjah enam, ketiga darjah lima, keempat darjah tiga, kelima darjah dua, keenam baru tadika dan ketujuh baru empat tahun.

Semasa menghempuskan nafasnya yang terakhir aku berada diisinya dan sepanjang malam aku duduk dan sesekali aku terlelap ditepi katil tapi tangan ku tidak lekang dibadannya.
Jenazah telah selamat dimandi dan dikafankan untuk dibawa ke kampongnya di Perak. Semasa persiapan untuk ke kampong anak yang kecil ada bertanya "baju ayah tak buat balik ke" berderai air mata ku kerana apalah yang mereka tahu. Aku redha pemergiannya dari dia menanggung sakit sekian lama selama empat tahun kerana barah (cancer - limphoma).

Setelah dikembumikan dikampong kerana itu atas permintaan ibunya, anak ku yang kecil bertanya kepada bapa saudaranya "ayah tak lemas ke dalam kubur" begitulah keletah anak ku yang bongsu banyak bertanya.

Setelah selamat buat kenduri tahlil, aku dan anak-anak pulang ke Kuala Lumpur kerana aku terpaksa menyambung kerja dan anak-anak terpaksa bersekolah. Anak ku yang bongsu selalu keluarkan album ayahnya dan tunjukkan gambar ayahnya kepada kawan-kawan. Sewaktu aku mengaji AlQuran pada malam tanpa ku sedari air mata ku sentiasa berlinangan dan diperhatikan oleh anak yang bongsu sedih melihat ku menangis dia beredar dan keesokan barulah dia bertanya "mak menangis semasa baca Quran malam tadi kerana ingatkan ayah ke!" Aku hanya menundukkan kepala ku ingin sembunyikan kesedihan ku (tapi anak ku faham dengan tingkah laku ku).

Semasa menghantar anak-anak ku ke sekolah air mata ku selalu berlinangan walaupun kesedihan ingin ku sorokkan kepada anak-anak ku tetapi apa boleh buat, itu sudah naluri insan yang tidak tahan dengan kesedihan. Walaupun nampaknya riang di luar tetapi dalam hati tidak siapa yang tahu.

Aku sedih kerana dalam usia yang begitu muda anak-anak ku sudah kehilangan bapa untuk bergantung kasih sayang. Aku bersyukur juga kerana aku dikurniakan oleh Allah subhanawataala umur ku panjang dapat juga aku mencurahkan kasih sayang kepada mereka. Walaupun kasih sayang ku curahkan kepada mereka dianggap tidak adil kerana aku faham anak yang ramai dan jarak usia mereka amat rapat mereka berebut-rebut untuk dimanja dan dikasihi.

Selang beberapa minggu berlalu jenazah dikembumikan anak ku kedua bersuara "kenapa mak tak kembumikan ayah kat Kuala Lumpur" aku tak dapat berkata apa-apa cuma berdiam, sedih, sayu......... (dalam hati eya tak eya juga tetapi Allah dah tentukan tanah kuburnya disana).