Sunday, September 20, 2015

Diantara waktu mustajab Doa

.
Di antara waktu doa paling mustajab dalam solat selain daripada semasa kita bersujud adalah ketika duduk Tawaruk (duduk dengan kaki kiri dihamparkan ke sisi kanan dan punggung di atas lantai) iaitu selepas bacaan Tasyahhud Akhir (Tahiyyat Akhir) dan sebelum memberi salam. Inilah waktu yang tidak pernah ditinggalkan dan sering Nabi Muhammad ﷺ amalkan untuk permohonan doa.

Friday, August 24, 2012

Demi Masa

Assalamu’alaikum wa rahmatullah
Selalu kita membaca surah Al-‘Asr. Paling kurang, apabila di hujung majlis, kita ada membaca surah tersebut walaupun ada yang tidak faham mengapa mereka membacanya. 

Firman Allah swt yang bermaksud: "Demi masa....Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran."

Perhatikan kejadian siang dan malam yang silih berganti yang kedua-duanya merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah swt sebagaimana firman NYA yang bermaksud: " Dan diantara tanda-tanda kekuasaan NYA ialah malam, siang, matahari dan bulan."

Monday, November 16, 2009

Masa.......

Bila ku renung masa berlalu begitu cepat sekali. Waktu tidak menunggu sesiapa tetapi rugilah kita hanya melepaskan masa berlalu begitu sahaja.......

Masa ibarat lilin membakar.... sia-sia apabila mengeluarkan asap dan debu tetapi memberi faedah apabila cahaya nya menerangi alam yang kegelapan. Begitulah diibaratkan masa itu berharga apabila dimenafaatkan untuk kebaikan dan kerugian apabila disia siakan berlalu begitu sahaja.......

Demi masa hanya insan............ yang tahu menilainya.

Friday, April 10, 2009

Di tirai jendela

Fajar pagi berlabuh,
Aku merenung diluar jendela.

Embun dan gerimis membasahi rumput,
Nun dihadapan aku memandang...... jauh....

Bukit yang indah menghijau,
Sejuk mata memandang,
Tapi disebaliknya ada sesuatu rahsia....
Hutan rimba yang beribu tahun usia,
Ada bahaya yang sentiasa menanti,
Penghuni.... di jalan rimba riang 9/4.

Hanya menanti......penuh debaran.

Setiap malam tidur tanpa lena,
Kecuaian, leka pasti menerima akibatnya.

Walaupun setiap malam....
Ada kereta peronda polis yang meronda,
Tapi waktunya telah diawasi,
Oleh makhluk asing pendatang.....
Telah lama bermastautin di puncak bukit sana,
Senantiasa menanti siapakah pula.
Yang bakal menjadi mangsa......

Sunday, April 5, 2009

Terlajak perahu boleh berundur

Pada bulan lepas aku bertemu seorang kawan Z yang baru ku kenal melalui adiknya yang bekerja disebuah sekolah di Kuala Lumpur.

Ceritanya bukanlah ingin mendedahkan keburokan orang tetapi ingin berkongsi pengalaman dan pendapat dengan aku.

Begini ceritanya. Dia ada seorang kakak ipar yang telah berkahwin pada usia yang lewat sedikit iaitu 45 tahun. Biarlah ku namakan kakak iparnya ini Aishah (namanya bukan nama sebenar). Aishah seorang pegawai tinggi kerajaan dan pernah keluar negara atas urusan kerjanya.

Dia berkenalan dengan seorang duda yang juga sebaya umur dengannya. Ku namakan duda ini Dahlan (bukan nama sebenarnya). Pada awal perkenalan Dahlan sudah pandai menghadiahkan gelang emas kepada Aishah. Aishah begitu gembira sekali kerana ada orang menghadiahkan sesuatu kepada dia dan mungkin sebelum ini tidak ada orang yang berbuat sedemikian.

Akhirnya Aishah terpikat dengan Dahlan dan berkahwin. Dahlan mempunyai anak seramai empat orang dan sifat Dahlan tidak bertanggungjawab dan tiada pekerjaan yang menentu semuanya anak-anaknya diserahkan kepada dia oleh bekas isterinya yang telah berkahwin lain.

Aishah terpaksa memelihara anak-anak Dahlan dan membawa tinggal bersama dirumahnya. Makan, pakai dan semua perbelanjaan persekolahan ditanggung oleh Aishah.

Dipendekkan cerita akhirnya anak Dahlan yang pertama perempuan Dahlia (bukan nama sebenar) berkahwin dan mendapat anak kembar. Jodohnya tak panjang akhirnya Dahlia bercerai dengan suaminya. Anak Dahlia ini seorang dijaga oleh bekas ibu mertuanya dan seorang lagi tinggal bersama Dahlia yang masih tinggal dirumah Aishah.

Akhirnya Aishah bukan sahaja menanggung beban menjaga suami tetapi terpaksa menjaga anak-anak tiri dan cucu tirinya.

Pada usia 55 tahun Aishah mengeluarkan wang simpanan KWSP. Wang yang disimpan selama bekerja hampir 30 tahun itu dikeluarkan dengan membeli kereta baru Honda untuk suaminya dan Aishah sendiri hanya memakai kereta Wira yang sudah lama usianya.

Aku mengeluh mendengar ceritanya. Apa boleh buat nasi sudah menjadi bubur dan terlajak perahu boleh berundur tetapi terlajak perbuatan apa pula tindakannya.

Apakah mampu Aishah merubah kembali hidupnya ini sebelum umurnya 60 tahun atau berakhir dengan hanya kain kafan putih yang menyalut badan. Apabila mati mampukah anak-anak tirinya, cucu tirinya dan juga suaminya untuk menghadiahkan doa apabila mati kelak.

Semoga permudahkanlah dan selamat bersalin

Dua minggu lepas aku baru sahaja melawat anak saudara ku yang baru selamat bersalin anak lelaki. Sakit bersalin ni ibu yang pernah melahirkan anak sahaja yang tahu bagaimana azabnya sakit bersalin.

Dalam minggu ni sahaja aku mendengar radio IKIM menceritakan bahawa azab kedua dari sakratulmaut adalah azab bersalin.

Aku masih ingat sewaktu melahirkan anak pertama dahulu di Hospital Kuantan, Pahang tahun 1977. Masa tu aku pun tak tahu macam mana sakitnya untuk bersalin. Setelah aku merasa sakit-sakit di hospital seorang ibu muda juga seorang jururawat baru sahaja melahirkan seorang bayi pertamanya. Dia sempat bercerita kepada ku macam mana dia nak bersalin dan mengajar kepada ku supaya menerang macam nak buang air besar.

Sewaktu aku mulai sakit aku dibawa ke bilik bersalin. Sakitnya tidak dapat ku bayangkan rasanya macam nak putus pinggang ku. Tiba-tiba aku rasa nak buang air besar dan ingin bangun kerana nak ke bilik air tetapi seorang bidan terlatih mengarah aku baring jangan bangun dan sempat berkata" nanti patah leher anak awak". Rupa-rupanya aku sudah nak menerang untuk bersalin. Selepas bayi keluar aku rasa dunia ni gelap seketika, syukur alhamdulillah aku masih panjang umur.

Sakit bersalin belum habis, seorang doktor lelaki menghampiri ku untuk.......... malu nak cerita. Aku tak mahu dan menempis tangan doktor tersebut dan seorang bidan menasihatkan ku "adik benda kita tu kecil dah keluar anak kenalah...." Aku terpaksalah membenarkan doktor tu buat kerjanya sampai habis malu tak malu kenalah juga.

Setelah keluar dari bilik bersalin, keesokannya doktor yang sama melawat ku dan sempat berkata kepada anak kecil ku " your mother so crazy....". Dalam hati aku rasa tidak mahu jumpa lagi doktor ni.

Kini masa sudah berlalu 32 tahun lepas. Zaman sekarang nak bersalin boleh pilih doktor wanita jika kita mahu.

Pagi tadi aku baru sahaja menghantar anak perempuan tunggal ku buat pemeriksaan di Pusat Rawatan Islam Kota Damansara kerana aku segaja nak hantar kerana melihatnya dah sarat benar nak memandu kereta pun perutnya dan dah kena sterin kereta, tapi apa boleh buat suaminya kerja di Johor Bharu minggu hadapan barulah balik.


Aku pun terpaksa standby kali ni anak perempuan dan menantu ku akan bersalin serentak pada awal bulan Mei 2009. Aku berdoa semoga kedua-duanya dipermudahkanlah dan selamat bersalin.

Thursday, April 2, 2009

Bekerjalah seolah-olah kita hidup seribu tahun lagi dan Beramallah seolah-olah kita mati esok hari

Laungan azan jelas terdengar dari surau AlUlum seksyen 9 Kota Damansara, Petaling Jaya menanda masuknya waktu magrib. Aku baru saja mencuci kaki ku dan ingin mandi sebelum menunaikan solat.



Tiba-tiba pergerakan ku berhenti menghayati azan tadi "Allahhu Akbar" Allah Maha Besar. Sesungguhnya tiada daya dan kuasa ku hanya Allah yang berkuasa segala-galanya. Penghayatan ku mendalam terus ke hati.... betapa besarnya kuasa Allah. Biasalah dalam keadaan begini aku mengucap kesyukuran dengan kehadiran ku ke dunia ini menjadi manusia yang sempurna dan dalam agama yang diredhai Allah. Apa lagi sedu, hiba dan mulailah air jernih mengalir lagi dipipi ku. Bukan ku pinta tapi itu adalah naluri insan........



Selepas mandi dan berwuduk aku terus menunaikan solat magrib berseorangan di rumah. Pada malam Jumaat kebiasaannya aku akan membaca Yasin kalau rajin aku terus membaca AlQuran.

Kali ini waktu membaca Yasin sebak rasanya dada ku dan apa lagi gerimis mengundang lagi. Ya, betapa kerdilnya diri ku ini, mengundang didunia yang luas ini. Apakah aku sudah cukup amalan untuk ke sana......... yang kekal selama-lamanya.



Aku rasa amalan ku belum cukup lagi untuk ke sana........ aku bermohon kepada mu ya Allah panjangkanlah umur ku dan berilah aku kesempatan, kesihatan yang sempurna supaya aku sempat beramal. Aku masih ingat lagi kata-kata pujangga, Beramallah seolah-olah kita mati esok hari dan Bekerjalah (mencari rezeki) seolah-olah kita mati seribu tahun lagi. Kedua-dua amat berguna sekali dalam hidup kita untuk dunia dan akhirat.